Isteri kata ada unsur jenayah

JENAZAH Laskar Kelas 1, Allahyarham Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dituntut ahli keluarga selepas selesai dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh jam 9 malam tadi.

Proses bedah siasat bermula kira-kira jam 3.30 petang hari ini bagi mengenalpasti punca kematian sebenar Nik Muhammad Baihaqy dan Laskar Kelas 1, Allahyarham Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 28, yang turut dilaporkan meninggal dunia ketika ditahan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, petang semalam.

Bedah siasat terhadap Nik Muhammad Bahaiqy selesai jam 8 malam tadi sebelum dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan di Jabatan Forensik HRPB oleh ahli keluarga dan pegawai serta anggota TLDM.

 

Jenazah Allahyarham dituntut isterinya, Noor Bazlin Mohammad, 27, sebelum bergerak menaiki van jenazah jam 9 malam ke kampung halamannya di Kampung Kubang Keranji, Kota Bharu, Kelantan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Limbat, Pasir Tumboh di sebelah pusara ayahnya yang baru meninggal dunia 30 Julai lalu.

 

Difahamkan, punca kematian Nik Muhammad Bahaiqy adalah kerana pendarahan dalam paru-paru dan ketika ditanya mengenai hasil bedah siasat, Noor Bazlin mengatakan kematian suaminya ada unsur jenayah.

“Ia ada unsur jenayah, itu sahaja yang boleh saya katakan ketika ini,” katanya.

Sementara itu, bedah siasat terhadap Muhammad Lailatuliman kini sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam.

 

Sumber : Harian Metro (Muhammad Apendy Issahak)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *