BENARKAH RUMPUN BANGSA MELAYU ADALAH ANTARA YANG PALING AWAL MENDIAMI WILAYAH INDOCHINA ATAU DIKENALI TANAH TINGGI VIETNAM??

Sememangnya rumpun bangsa Melayu adalah antara yang paling awal mendiami wilayah Indochina. Sejarawan seperti Julie Shackford menyebut bahawa penduduk awal wilayah Red River Basin atau Delta Tonkin di Negara Vietnam sekarang adalah masyarakat Austronesian atau rumpun Melayu. Namun tahukah anda selain daripada orang Champa yang dahulunya pernah mempunyai tamadun yang hebat, terdapat beberapa lagi suku kaum yang tergolong dalam rumpun Melayu di Vietnam? Suku kaum yang dimaksudkan adalah orang Churu, Raglai, Rade (Anak Ede) dan Jarai (Giarai). Kesemua suku kaum atau etnik ini mempunyai bahasa yang tergolong dalam rumpun Malayo-Polynesian. Dalam penulisan ini saya ingin membawa anda untuk mengenali sedikit sebanyak mengenai dua suku kaum terlebih dahulu iaitu Jarai dan Rade.

 

Suku kaum Jarai adalah salah satu daripada etnik minoriti dalam kelompok Malayo-Polynesian yang terbesar di Vietnam. Menurut bancian tahun 1999, jumlah populasi suku kaum ini adalah seramai 242, 291 orang. Suku kaum ini juga terbahagi kepada beberapa suku-suku kecil yang mempunyai pelbagai nama seperti Chor, Hdrung, Arap, Mthur, dan Tobuan. Orang Jarai dikatakan sebagai penduduk awal wilayah tanah tinggi Tay Nguyen di tengah Vietnam. Mereka mempunyai kulit yang cerah dan sawa matang, bermata coklat, berambut ikal. Catatan tentera Amerika menyebut bahawa tubuh badan mereka lebih tegap berbanding orang Dai Viet.


Suku Jarai

Masyarakat Jarai mengaitkan sejarah mereka dengan petitih yang menyebut tentang Potao Ia atau raja air dan Potao Pui atau raja api. Menurut mereka suatu ketika dahulu orang Jarai pernah diperintah oleh dua Raja yang sangat berkuasa ini. Pemimpin kaum mereka juga digelar sebagai Potao yang bermaksud ketua. Mereka mengamalkan animisme dan menyembah semangat seperti langit dan bumi, air dan api bagi mendapatkan hujan, angin, keselamatan dan kesihatan. Mereka menggelarkan semangat yang memerintah dan mencipta bumi sebagai ‘Giang’ atau ‘Yang’ (Hyang). Semangat yang mereka hormati adalah Yang Sang atau semangat rumah panjang, Yang Ala Bon atau semangat kampung dan Yang Iaj iaitu semangat air. Selain itu mereka juga menyembah semangat udara yang bernama ‘Potao Angin’.

Namun demikian jumlah suku kaum Jarai yang mengamalkan ajaran tradisi mereka semakin berkurangan. Hal ini kerana ramai dikalangan mereka yang telah memeluk agama Kristian. Hal ini berlaku kerana sejak tahun 1970an dalam era Perang Vietnam banyak pasukan Missionari dari Amerika telah masuk ke kampung-kampung mereka dan memujuk mereka untuk memeluk Kristian. Sebahagian kecil kaum Jarai yang telah berhijrah ke bandar-bandar besar yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Dai Viet juga telah memeluk agama Buddha.

 

Kaum Jarai juga mengamalkan pertanian padi bukit. Tanah ladang adalah harta yang penting bagi mereka. Tanah yang digunakan untuk pertanian dan ternakan dinamakan sebagai H’ma (Huma). Selain kerbau, lembu dan babi, terdapat juga diantara mereka yang mempunyai gajah. Kaum Jarai juga selalu mengadakan upacara korban kerbau. Kerbau adalah haiwan yang paling berharga bagi mereka. Dalam kepercayaan mereka, seseorang yang mampu untuk mengorbankan banyak kerbau dianggap sebagai seorang yang dirahmati dan dipelihara oleh semangat. Biasanya mereka akan mengorbankan kerbau dalam upacara pengkebumian, menyambut kemenangan dalam berperang, upacara kahwin dan perayaan-perayaan seperti hari menuai atau menanam.

 


Pemakaman masyarakat Jarai.

Selain itu mereka juga mempunyai mitos banjir besar mereka sendiri. Dalam mitos tersebut dikatakan bahawa dunia telah mengalami banjir yang sangat besar. Bagi menyelamatkan diri sepasang suami isteri Jarai telah masuk ke dalam sebuah gendang besar dan mereka telah hanyut selama beberapa hari sehinggalah mereka terkandas di sebuah puncak gunung bercabang dua yang dinamakan sebagai pusat dunia. Menurut kaum Jarai, sejak itulah suku kaum mereka tinggal di kawasan tanah tinggi. Bagi saya mitos banjir kaum Jarai ini sangat menarik, malah hampir sama dengan mitos banjir kaum-kaum Austronesian yang lain.


Perayaan Suku Jarai.

Setiap perkampungan suku kaum Jarai biasanya mempunyai 50 hingga 500 orang penduduk. Mereka tinggal di rumah panjang yang bertiang tinggi seperti suku kaum dayak di Borneo. Mereka mengamalkan adat matrilineal. Setiap rumah panjang kebiasannya adalah milik keluarga perempuan. Dalam sebuah rumah itu biasanya akan tinggal adik beradik perempuan bersama suami-suami mereka serta ibu dan bapa perempuan tersebut. Manakala si suami atau kaum lelaki yang tinggal dalam rumah tersebut adalah dari keluarga atau suku luar yang berkahwin dengan perempuan tersebut. Hal ini bermakna rumah adalah milik keluarga belah perempuan. Malah nama suku atau keluarga juga diperturunkan dari belah pihak perempuan. Lelaki dan perempuan dari satu suku tidak dibenarkan untuk berkahwin kerana ia dianggap akan mendatangkan tulah yang besar.


Ketua Suku Jarai.

Dalam adat kaum Jarai apabila seorang wanita itu mengandung, dia akan dihormati oleh semua orang. Wanita tersebut akan dilarang dari melakukan sebarang kerja-kerja berat. Setelah melahirkan, si ibu terpaksa pula mengikut pelbagai jenis pantang larang. Antaranya ialah si ibu tidak boleh makan nasi yang ditanak dengan air di dalam periuk sebaliknya dia hanya boleh makan nasi yang ditanak dalam buluh. Malah mereka tidak dibenarkan makan sebarang jenis daging dan hanya boleh makan sayuran atau pucuk-pucuk. Pada zaman dahulu kebiasaannya anak sulung akan dibunuh sebagai semahan untuk semangat. Menurut mereka ini bagi menjamin kehidupan anak-anak yang seterusnya. Selain itu mereka juga akan membunuh anak yang dilahirkan cacat atau kembar. Namun demikian adat ini sudah semakin sirna.

Kaum lelaki memakai cawat yang biasanya berwarna Indigo ditenun oleh kaum perempuan. Kain cawat ini juga biasanya ditenun dengan tenunan bercorak jalur yang berwarna merah dan putih. Boleh dikatakan cawat yang dipakai mereka hampir menyerupai cawat suku kaum Dayak di Borneo. Kaum perempuan pula memakai sejens kain sarung yang juga berwarna indigo atau hitam dan ditenun dengan jalur-jalur berbenang merah dan putih. Baju bagi kaum perempuan pula biasanya tidak berlengan atau berlengan pendek begitu juga dengan kaum lelaki. Ketua kaum atau Potau pula biasanya memakai sejenis baju yang labuh hingga ke punggung dan berlengan panjang. Di bahagian kolar baju dan tepian sim akan dijahitkan dengan kain berwarna merah dan ditengah-tengah muka baju ditampalkan sehelai kain merah berbentuk segi empat tepat atau bulat.

 

Sebelum ‘dijinakkan’ oleh orang Perancis, perkampungan suku Jarai biasanya mempunyai pelbagai jenis penghadang atau pagar yang diperbuat daripada pokok-pokok yang ditanam, kayu yang dipacak mahupun tembok yang diperbuat daripada padatan tanah. Perkampungan mereka bagaikan sebuah kubu yang dapat digunakan dalam situasi perang. Selain rumah-rumah panjang, perkampungan mereka juga dilengkapi telaga, kandang kerbau atau lembu, kandang babi, stor menyimpan padi, serta satu bangunan khas untuk aktiviti umum seperti menyambut tetamu atau majlis timbang tara dan aktiviti gotong-royong untuk sesuatu keramaian.

 

Suku kaum Jarai juga adalah suku kaum yang sangat kuat menentang penjajahan Perancis di Vietnam. Pernah beberapa kali berlaku pertempuran yang hebat diantara suku Jarai dan penjajah Perancis. Mereka sering menyerang rombongan dagang suku-suku lain atau Missionari Perancis yang melalui kawasan mereka. Suku Jarai diperangi Perancis secara agressif pada tahun 1904 apabila salah seorang pegawai Perancis yang dihantar untuk memujuk seorang ketua agama kaum Jarai supaya tunduk dengan kerajaan kolonial telah dibunuh. Boleh dikatakan bahawa suku Jarai adalah suku kaum rumpun Melayu paling akhir menyembah kepada penjajahan Perancis di Vietnam. Malahan semasa orang-orang Dai Viet berjaya mengalahkan kerajaan Champa, mereka tetap tidak mampu untuk menundukkan orang-orang Jarai dan membiarkan sahaja mereka tinggal di kawasan pergunungan.

Begitulah sedikit sebanyak tentang kaum Jarai. Sekarang mari kila lihat contoh bahasa yang digunakan mereka dan persamaannya dengan bahasa Melayu standart. Dibawah saya senaraikan beberapa perkataan Jarai yang hampir sama dengan perkataan dalam bahasa Melayu:

 

· Anak lelaki- Ana’dah rokoi/ Ana’ to’dam.
· Angin- Angin/ur ur
· Air- Ia
· Tanah ladang- H’ma
· Semangat/Tuhan/Hyang- Diang/Yang
· Api- Apui
· Asap- Asap
· Abang paling tua- Ayong
· Tangan- Tongan
· Telinga- Tongia
· Anak Dara- Dra
· Bulan- Blan/Yang Blan
· Jalan atau laluan- Jolan
· Malam- Mlam

Seterusnya mari kita lihat adat dan budaya kaum Rade atau Anak Ede pula. Mereka adalah masyarakat minoriti Malayo-Polynesian yang kedua terbesar selepas kaum Jarai dengan bancian sebanyak 194, 710 orang. Mereka juga banyak mendiami kawasan tanah tinggi di wilayah tengah Vietnam. Bahasa mereka juga lebih dekat dengan bahasa Melayu Cham dan mereka banyak membuat perhubungan dengan orang luar seperti orang Cham, Viet, Perancis malah Amerika semasa zaman Perang Vietnam. Fizikal mereka juga sama seperti suku kaum Jarai iaitu berbadan tegap, berbahu lebar, dan agak rendah, namun demikian berbanding dengan suku kaum minoriti yang lain mereka mempunyai kulit yang lebih cerah.


Suku Rade

Perkampungan mereka selalunya mengandungi 50 hingga 200 orang penduduk. Mereka biasanya membina petempatan berdekatan sumber air seperti anak sungai, mata air atau telaga. Mereka mempunyai satu kebiasaan yang agak unik iaitu suka membina perkampungan di tepi jalan dan mereka akan memastikan yang jalan tersebut melalui tengah kampung mereka. Berbanding dengan perkampungan orang Jarai yang berpagar atau bertembok, kebiasaannya kampung suku kaum Rade tidak berpagar. Namun mereka akan membina satu pintu gerbang yang besar di jalan untuk masuk ke kampung mereka. Dalam sesebuah kampung Rade itu biasanya akan ada pokok buah-buahan, kandang haiwan terutamanya kerbau, babi dan ayam serta serumpun buluh yang tidak akan ditebang atas sebab kepercayaan tertentu.

 

Kaum Rade mempunyai penceritaan sejarah yang unik. Mereka menyimpan khazanah sejarah nenek moyang mereka dalam puisi-puisi tradisional atau hikayat yang dipanggil ‘Khan’. Lagenda mereka terakam dalam lima buah puisi Khan. Mereka percaya bahawa suku kaum mereka adalah bangsa manusia yang paling tua di dunia dan mereka masih menyimpan segala ilmu dan sejarah turunan nenek moyang mereka sejak zaman purba secara turun temurun tanpa putus dalam bentuk puisi. Salah satunya ialah lagenda mengenai sejenis haiwan yang mereka panggil sebagai H’Bia Ngo. Daripada diskripsi yang diberikan dalam puisi mengenai haiwan ini, pengkaji mendapati bahawa haiwan yang dikisahkan tersebut sebenarnya adalah MAMMOTH atau gajah purba! Hal ini membuktikan bahawa mereka memang kaum yang sangat tua.

 

Malah salah satu daripada puisi epik mereka juga telah merakamkan sejarah asal usul orang Rade. Dalam puisi tersebut dikatakan kaum Rade memang awalnya berasal daripada dataran tinggi Darlac di Vietnam. Namun kemudian berlaku penghijrahan ke kawasan-kawasan lain. Sehinggalah akhirnya mereka mendiami sebuah pulau yang terletak di tenggara Indochina (Borneo?). Namun mereka tidak melupakan asal-usul mereka lalu berlayar semula ke pantai Indochina dan menetap disitu. Kemudian kerana kekurangan makanan mereka telah berhijrah semula ke dataran tinggi Darlac, maka sejak dari hari itu mereka tetap disitu. Sejarah asal usul ini diceritakan dari satu waris ke waris Rade yang lain tanpa putus sejak zaman berzaman. Saya beranggapan warisan puisi atau petitih kuno Anak Ede ini juga setaraf dengan epik Bugis La Galigo dan epik Gilgamesh Sumeria.

Sepertimana kaum Jarai , suku kaum Rade juga mengamalkan adat dan budaya matrilineal. Segala harta, rumah, sawah dan kekayaan adalah milik keluarga perempuan dan anak akan mewarisi nama keluarga perempuan. Kaum Rade juga tinggal di rumah-rumah panjang yang bertiang tinggi diperbuat daripada kayu dan buluh. Kepanjangan rumah bergantung kepada jumlah isi rumah perempuan. Jika terdapat salah seorang perempuan yang baru berkahwin si ayah akan menyambung atau menambahkan lagi panjang rumah dengan menyediakan bilik khas tempat si anak dan suaminya tinggal. Setiap anak perempuan yang telah berkahwin akan mempunyai sebuah bilik khas untuk keluarga kecilnya dalam rumah panjang tersebut.


Rumah panjang Kaum Rade.

Disetiap hujung hadapan rumah panjang mereka akan ada satu anjung. Anjung ini biasanya tempat mereka menjalankan aktiviti mengayam buluh dan rotan serta tempat bersidai dan berborak sambil menghisap paip. Anjung ini juga biasanya dijadikan tempat untuk menaiki gajah. Hal ini kerana kaum Rade juga adalah penjinak dan penangkap gajah yang hebat. Di anjung tersebut terdapat tangga yang berukir. Biasanya keluarga yang kaya akan mempunyai ukiran tangga yang paling mewah dan cantik. Tangga yang khas untuk wanita juga turut disediakan dan mempunyai pemegang. Setiap rumah panjang juga biasanya mempunyai sebuah pondok atau bangsal menyimpan padi.


Sepasang kaum tua Rade.

Suku Kaum Rade dianggap oleh pengkaji Amerika sebagai agak pasif. Segala musibah dan kesusahan yang berlaku dalam kehidupan mereka diterima sebagai ketentuan takdir. Malah atas sebab yang sama mereka tidak kisah untuk mengikut telunjuk orang Vietnam dan Perancis kerana menurut pandangan mereka, kaum mereka lemah dan mereka harus tunduk kepada pihak yang lebih kuat. Namun demikian masyarakat luar mendapati suku kaum Rade adalah suku kaum minoriti yang paling cerdas dan cerdik pemikirannya berbanding suku kaum lain. Malahan mereka paling berminat untuk belajar sesuatu yang baru. Catatan penjajah Perancis sendiri menyebut bahawa orang Rade boleh diajar dan belajar apa sahaja yang dikehendaki mereka. Mereka juga dikatakan sangat cepat belajar bahasa Inggeris pada zaman Perang Vietnam.

Dari segi pakaian, walaupun secara kasarnya hampir sama seperti suku kaum Jarai dan lain-lain, namun ada beberapa unsur tertentu yang berbeza dan unik kepada kaum mereka. Kaum lelaki suku Rade biasanya memakai cawat yang berwarna biru atau merah dan mereka biasanya memakai gelang besi yang besar di leher. Kaum lelaki juga memakai baju berwarna indigo yang mempunyai lengan panjang yang tirus. Dibahagian dada baju tersebut terdapat sulaman benang-benang merah yang membentuk segi empat sama. Mereka juga memakai penutup kepala yang menyerupai serban.

 

Wanita Rade menenun kain.

Kaum wanitanya pula memakai kain sarung yang juga disulam dan ditenun mereka sendiri dengan corak-corak tertentu. Baju kaum wanita juga ada yang lengan panjang dan ada yang tidak berlengan. Terdapat dikalangan kaum Rade yang tinggal berdekatan dengan kaum Jarai turut memakai sejenis bengkung berwarna merah dan putih yang dibeli dari kaum Jarai. Kaum wanita dan lelaki Rade juga gemar memakai pelbagai jenis gelang daripada tembaga mahupun timah serta anting-anting dan gelang kaki.

Seperti juga suku kaum Jarai, kepercayaan tradisi mereka adalah animisme. Namun demikian sejak perhubungan mereka dengan Penjajah Perancis dan tentera Amerika, ramai diantara mereka yang telah memeluk agama Kristian. Dalam kepercayaan tradisi mereka, dewa yang paling penting bernama Ae Die yang bermaksud raja langit. Ia adalah pemerintah alam semesta dan ketua bagi semua semangat. Manakala H’Bia Dung Dain yakni adik perempuan kepada Ae Die adalah yang kedua terpenting. H’Bia Dung Dain adalah dewi yang bertanggungjawab atas sawah dan tanaman padi. Dewi ini juga dikaitkan dengan kesuburan dan kelahiran. Dewa Ae Du pula adalah suami kepada H’Bia dan merupakan dewa hujan serta menuai. M’ngat (Semangat) pula adalah istilah mereka untuk roh manusia. Ewa (Jiwa?) atau M’ngah (Mengah pernafasan?) pula adalah nyawa atau nafas.

Kaum Rade di dalam rumah panjang mereka sedang minum tuak.

 

Manakala semangat yang jahat pula namanya adalah Yang Lie yang merupakan ketua segala syaitan. Mereka sangat takut kepada semangat jahat. Semangat jahat yang paling mereka takuti adalah ‘Yang Brieng Pong’ yang menurut mereka boleh membawa bencana seperti kematian dan kemalangan serta kematian ibu bersalin. Kebiasaannya jika mereka menganggap bahawa semangat ‘Yang Brieng Pong’ telah mengganas dan menyebabkan kematian, satu upacara korban akan dilakukan. Kaum Rade juga akan melakukan upacara korban tembikar tuak serta haiwan ternakan terutama kerbau dan babi bagi menyambut majlis-majlis tertentu seperti hari menuai, hari menanam atau dinamakan ‘Kam Buh’ (tumbuh?), hari meminta angin sejuk supaya pergi iaitu ‘Kam Angin’ dan hari perkahwinan.

 

Gajah adalah haiwan yang sangat penting bagi masyarakat Rade. Kebiasaannya gajah dijadikan sebagai tunggangan dan gajah juga menjadi lambang kekayaan atau harta yang paling berharga bagi sesebuah keluarga Rade. Selain itu gajah juga dianggap sebagai haiwan istimewa yang membawa tuah. Pentingnya gajah dalam suku Rade sehinggakan mereka menganggap gajah yang dipunyai mereka sebagai salah seorang daripada ahli keluarga. Gajah turut digunakan untuk kerja-kerja berat seperti menngangkut balak dan membina rumah panjang. Jika seekor gajah itu hendak bertukar milik atau dijual, satu upacara korban untuk semangat akan dilakukan bagi memaklumkan semangat tersebut bahawa si gajah akan bertukar pemilik. Darah korban akan disemah di kepala gajah.

 

Suku Rade sangat terkenal sebagai penjinak dan penangkap Gajah liar yang handal.

 

Kaum Rade juga sangat terkenal dengan tradisi muzik gong mereka. Mereka mempunyai pelbagai jenis gong yang berbeza nama dan nada bunyi. Muzik gong kaum Rade telah diiktiraf oleh badan UNESCO sebagai Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity. Selain gong mereka juga menggunakan alat muzik seruling yang dipanggil Ding serta alat muzik bertali yang dinamakan Bro, goong. Antara jenis lagu atau muzik yang sering dimainkan mereka adalah Ayray iaitu lagu yang dimainkan dengan seruling dan Ku’-Ut sejenis lagu yang dimainkan dalam upacara pengkisahan epik sejarah Rade.

 

Dibawah saya senaraikan beberapa contoh perkataan Jarai yang sama dengan perkataan dalam bahasa Melayu:
· Tangan- Kngan
· Jalan- Elan
· Kulit- Klit
· Hati- Atie
· Tahu- Thao
· Darah- Erah
· Hidung- Adung
· Bernafas- Hrip (Hirup udara?)
· Bau- Bao
· Kunyah- M’mah (Mamah)
· Duduk- Dok
· Menguap- hoap
· Jahit- Jhit
· Jarum- Erum
· Hidup- Hdip
· Membelah- Kblah
· Beli- Blei
· Tikus- K’kuih (Tikuih)

 

 

Begitulah sedikit sebanyak maklumat yang dapat saya kongsikan mengenai suku Jarai dan suku Rade. Jika mahu diceritakan seluruh adat istiadat dan budaya mereka serta sejarahnya sekali maka artikel ini akan menjadi terlalu panjang. Oleh sebab itu saya telah ringkaskan mana yang patut. Saya berharap dengan adanya artikel ini anda semua akan lebih mengenai rumpun bangsa kita yang berada di tanah tinggi Vietnam ini.

Diharapkan agar artikel ini dapat menangkis pandangan sempit sebahagian pihak yang mendakwa bahawa rumpun Melayu itu hanya wujud di Riau, dan di tanah besar asia tenggara termasuk Semenanjung dan Indochina tidak wujudnya rumpun Melayu. Padahal kewujudan urang Champa itu sendiri adalah bukti yang nyata. Malah adanya suku kaum separa primitif seperti Jarai dan Rade ini membuktikan lagi bahawa rumpun Melayu di Indochina sudah bertapak sejak beribu tahun yang lalu dan menjadi sebahagian daripada masyarakat awal yang wujud sebelum kemasukan orang Dai Viet dari selatan China.

Dalam artikel yang seterus saya akan membincangkan tentang dua lagi suku kaum dalam kelompok Malayo-Polynesian yang berada di tanah tinggi Vietnam. Suku kaum tersebut adalah kaum Churu atau Juru dan kaum Raglai. Kita akan melihat adat, budaya serta bahasa yang mereka gunakan dan sama-sama kita lihat persamaan yang terdapat pada mereka dengan suku-suku rumpun Melayu atau Austronesian yang lain. Sekian, Wassalam…:)

Kredit ~ASJ~

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *