DENGAN GAJI RM500++ MASA ITU MEMBUAT RAMAI YANG TERKEJUT PADA JURUTOL INI!!

 

Jurutol…satu nama yang tidaklah segah seorang juruterbang apalagi jurutera. Ianya adalah sebuah profesion yang agak unik kerana bilangan mereka agak terhad manakala tugasan mereka juga boleh dianggap tidak penting. Tetapi sebenarnya mereka ini memainkan peranan yang agak besar untuk menambah hasil negara.

Penulis pernah menjawat jawatan berprestij ini. Ya .. sekitar tahun 1993, apabila rakan² lain berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, penulis bukanlah seorang yang berjaya mendapat tawaran yang sama. Akhirnya penulis telah mendapat tawaran sebagai seorang jurutol di salah sebuah syarikat lebuhraya tersohor. Tatkala itu, lebuhraya utara selatan masih lagi dalam proses pembinaan dan penyiapan.

Penulis masih ingat dimana diarah melapor diri di pejabat wilayah selatan yang terletak bersebelahan plaza tol Yong Peng kini. Disitu, penulis diberikan latihan bersama beberapa rakan yang lain selama lebih kurang dua minggu. Selepas latihan, penulis ditempatkan sementara waktu untuk memulakan tugas di plaza tol tersebut untuk tugasan praktikum sebelum dihantar ke lokasi sebenar.

Latihan yang diadakan bukan hanya seqadar kelas biasa, tetapi terdapat juga acara fizikal seperti jungle trekking dan sebagainya. Penutup program diadakan dengan persembahan dari setiap pelatih mengikut kumpulan yang telah ditetapkan.

 

Selepas itu kami posting ke lokasi yang ditetapkan. Penulis dan beberapa rakan ditempatkan di tol machap yang merupakan pintu tol terakhir di selatan pada waktu itu. Kami bertugas dalam tiga syif. Syif pagi bermula seawal jam 6 pagi dan berakhir jam 2 petang. Syif petang bermula jam 2 petang dan berakhir jam 10 malam. Syif malam bermula jam 10 malam dan berakhir jam 6 pagi, dan itulah syif yang paling mencabar.

 

Keadaan di pintu tol ini adalah yang paling sibuk pada ketika itu. Semasa musim perayaan, kereta yang menunggu mungkin boleh mencapai hingga ke susur masuk nun sayup mata memandang. Keadaan akan menjadi agak kelam kabut kerana kami diberi arahan untuk melaksanakan transaksi secepat mungkin.

Ramai yang tidak tahu bagaimana kami bekerja dengan mesin di dalam kotak tol tersebut. Mesin yang ada pada masa itu bukanlah seperti mesin yang wujud di mana² kedai atau pasaraya. Mesin di dalam kotak tol hanya akan memaparkan jumlah amaun yang perlu dibayar. Apabila pelanggan menghampiri kotak tol, perkara pertama yang perlu dibuat ialah memberi salam dan senyum. Kemudian mengambil kad atau tiket dan dimasukkan ke dalam mesin. Mesin akan membaca data dan kemudian mengeluarkan jumlah yang perlu dibayar. Sebagai contoh, jumlah yang perlu dibayar ialah RM5.50. Maka apabila pelanggan memberikan not 100 misalnya, mesin itu tiada keupayaan untuk memberikan jumlah yang perlu dikembalikan. Penggunaan mesin kira juga dilarang kerana dianggap akan menyebabkan kelewatan. Maka petugas perlu membuat congakan dengan cepat dan tepat. Pada mulanya kita akan merasa amat kekok tetapi lama kelamaan ianya menjadi agak terbiasa dan kita seolah seorang pakar kira².

Sebaik tiba untuk masuk syif, setiap petugas perlu meninggalkan dompet duit peribadi dan mengosongkan kocek dari sebarang wang walaupun syiling satu sen sekalipun.
Petugas akan diberikan wang apungan dengan amaun tertentu. Selepas tamat syif, perlu menunggu sehingga pengganti kita muncul di dalam kotak tol. Apabila bertugas, jika sekiranya ada hajat untuk ke tandas, perlu memaklumkan kepada penyelia bertugas melalui alat perhubungan seperti radio yang dipasang di dalam kotak tol. Petugas biasanya dilarang untuk bersembang sesama mereka melalui radio tersebut kecuali apabila ada perkara penting sahaja. Tetapi sesetengah penyelia tidak kisah mengenai perkara tersebut.

Sebaik selesai bertugas, wang kutipan perlu dikira dan diserah kepada penyelia. Amaun perlualah sama dengan jumlah transaksi yang diketahui secara total oleh penyelia. Sekiranya berlaku kekurangan, petugas selalunya diminta mengganti on the spot untuk mengelakkan rekod buruk dalam perkhidmatan.

Syif yang paling mencabar ialah syif malam. Cabaran paling berat ialah melawan rasa mengantuk. Di plaza tol machap misalnya pada waktu itu, lori pengangkut khinzir akan bertali arus keluar skitar jam 3 hingga 4 pagi. Tak tahan dengan bau dan juga melawan mengantuk. Pernah penulis tertidur di dalam kotak tol sehingga tingkap diketuk oleh pelanggan yang ingin membuat bayaran tol. Mujurlah tiada kekurangan yang berlaku dari hasil kutipan.

Bercakap mengenai karenah pelanggan, pelbagai jenis ragam yang akan ditemui. Bagi jurutol wanita yang muda, cabaran mereka semakin hebat. Ramai dikalangan mereka yang diramas tangan mereka tatkala menerima wang dari pelanggan. Namun terdapat juga pelanggan yang baik hati memberikan roti, atau coklat, atau surat khabar atau apa sahaja yang sanggup diberikan.

Peluang paling menyeronokkan bila pelanggan dari negara jiran yang ketiadaan wang RM. Penyelia mengarahkan agar menerima wang asing tetapi dalam kiraan RM. Contohnya 1 SGD dikira sebagai RM1. Biasanya sebaik sahaja selesai syif, kami akan segera menukar wang tersebut dengan wang malaysia. Selepas dikumpulkan, wang asing akan ditukar di bank …

Apabila penulis dibelikan motosikal oleh atuk (kini arwah), penulis mula berulang-alik dari rumah ke tempat bertugas. Cabaran getir ialah tatkala pulang selepas syif malam. Meskipun waktu bertugas tamat jam 10 malam, itu tidak bererti jam 10.05 kita sudah boleh punch out. Kiraan yang dibuat untuk hasil kutipan kadangkala mencecah ribuan ringgit akan memakan masa yang agak lama. Selalunya selepas jam 12 baru boleh berangkat. Cabaran seram berlaku apabila melintasi kawasan jirat cina, lebih-lebih lagi jika tiada pula kenderaan lain yang melalui jalan tersebut…Syif pagi juga mencabar kerana terpaksa pergi seawal jam 4.30 pagi untuk sampai sebelum jam 5.30 pagi…

Tugas paling seronok apabila berada di pondok tol masuk dimana petugas hanya memberikan tiket sahaja kepada pemandu, tanpa perlu memikirkan mengenai kutipan dan sebagainya.

Pakaian diberi percuma setiap tahun dengan elaun kasut dan juga dobi. Gaji pokok ialah sebanyak RM515.00 pada waktu itu.

Selepas mendapat tawaran melanjutkan pengajian pada dis, penulis mengundur diri dari jawatan tersebut….

 

 

KREDIT – abuzair

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *